“SAYA tidak sangka menghidap leukemia pada usia 37 tahun,” kata Presiden Persatuan Keluarga Max Malaysia, Dr Abd Razak Muhammad, pakar ortopedik yang disahkan menghidap CML pada Mac 2006.
“Dua kali paha saya lebam tanpa sebab. Beberapa minggu sebelum diagnosis, saya langsung tidak ada selera hendak makan, menyebabkan berat saya turun 15 kilogram dalam masa enam bulan.
“Semua orang risau lihat keadaan saya yang kurus kering dan menggesa saya jalani pemeriksaan kesihatan.
“Ujian darah mendapati jumlah darah putih saya terlalu tinggi. Memang ada yang tidak kena. Ujian selanjutnya dilakukan untuk pengesahan. Sah, saya menghidap leukemia mieloid kronik (CML).
“Saya masih dapat mengawal perasaan ketika membaca keputusan ujian, tetapi tidak dapat tahan kesedihan apabila memberitahu keluarga, terutama emak,” katanya.
Abdul Razak berkata, sesiapapun akan berasa sedih apabila menghidap kanser.
“Pada mulanya saya anggap keputusan ujian itu tidak tepat. Saya buat dua kali ujian darah tapi bila ujian kedua menunjukkan keputusan sama, saya pasrah.
“Mungkin kerjaya saya membantu saya menerima perkara ini dengan tenang. Sokongan isteri juga membuat saya lebih bersemangat untuk segera jalani rawatan.
“Saya dirujuk kepada pakar darah (hematologi) di Hospital Ampang, diberi penerangan mengenai penyakit dan rawatan. Rawatan sekarang sangat bagus, tidak perlu kemoterapi.
“Saya hanya perlu ambil satu jenis ubat makan namun selepas setahun, ia tidak lagi berkesan. Apabila diuji, rupa-rupanya kromosom (bahan genetik) saya mengalami mutasi baru (perubahan),” katanya.
Menurutnya, rawatan seterusnya ialah ambil ubat baru atau pembedahan pemindahan sum-sum.
“Saya pilih pembedahan, syukur sum-sum adik saya sangat sepadan. Pembedahan pemindahan sum-sum itu tidak sakit, yang sakit ialah kesan kemoterapi.
“Selepas dua minggu terima sum-sum adik, badan saya menghasilkan sel darah baru. Oleh kerana sel darah putih yang menjadi benteng pertahanan badan sangat rendah, saya diasingkan dalam wad khas selama sebulan. Hanya isteri boleh melawat untuk mengurangkan risiko jangkitan.
“Saya terima rawatan ketika Ramadan. Jadi sebulan saya tidak berpuasa. Kesan kemoterapi, saya susah hendak makan, rambut gugur dan kulit jadi lebih gelap. Namun itu semua kesan sementara tetapi yang lebih kecewa ialah apabila saya hanya boleh tengok semua makanan kegemaran yang dihidangkan masa raya.
“Oleh kerana saya perlu ‘berpantang’ makan selama tiga bulan — tidak boleh makan makanan yang tidak dimasak — saya terus ganti puasa dalam Syawal tahun itu juga. Baru saya tahu betapa sukarnya perempuan berpantang,” katanya ketawa.
Dalam tempoh sebulan di bilik pengasingan, Dr Razak melakukan banyak perkara termasuk mengaji al-Quran, menulis blog dan senaman pernafasan bagi menguatkan fungsi paru-paru. Di rumah, dia juga banyak mengasingkan diri, sentiasa memakai penutup mulut dan hidung serta mengehadkan tetamu.
Bukan tidak sudi menerima kunjungan saudara mara dan kawan, tetapi untuk mengurangkan risiko jangkitan. Malah ketika keluar bersenam juga Dr Razak memakai penutup mulut dan hidung; kemeja-T lengan panjang, topi dan sarung tangan; untuk mengelak terkena cahaya matahari kerana ketika itu kulitnya sangat sensitif.
“Setiap satu hingga dua minggu, saya perlu jalani ujian darah untuk memeriksa jumlah sel darah putih dan platelet. Alhamdulillah, selepas enam bulan saya kembali bekerja. Saya memang ikut semua arahan doktor yang merawat, jaga makan dan ambil ubat mengikut waktu ditetapkan.
“Selepas ini saya masih perlu jalani pemeriksaan berkala untuk memeriksa jika ada sel kanser baru. Jika tidak, mungkin saya tidak perlu lagi makan ubat, tetapi hingga kini saya diberitahu saya perlu ambil ubat sepanjang hayat. Namun saya tidak kisah, saya mahu sihat dan boleh kembali merawat pesakit.
“Ketika sakit, saya teringin hendak jumpa pesakit CML lain untuk berkongsi pengalaman atau persatuan untuk dijadikan rujukan, tetapi tidak ada. Memang doktor pakar banyak berkongsi maklumat dengan pesakit, tetapi saya tetap rasakan kumpulan sokongan pesakit itu perlu. Ia bukan untuk pesakit saja tetapi seluruh ahli keluarga kerana mereka juga merasai kesan daripada penyakit kami,” katanya.
Justeru, apabila dia didatangi wakil Yayasan Max, Dr Razak teruja; ia bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Dari situlah tertubuhnya Persatuan Keluarga Max Malaysia.
Yayasan Max ditubuhkan oleh Pat Garcia-Gonzales dari Argentina (Pengasas dan Pengarah Eksekutif) bagi mengingati anak angkatnya, Maximiliano Rivarola (Max) yang meninggal dunia ketika berusia 17 tahun akibat CML.
Sehingga kini, Yayasan Max menaja ubat untuk lebih 15,000 pesakit CML di seluruh dunia, termasuk dari Malaysia. Menurut Dr Razak, antara perkara penting perlu dilakukan ialah meningkatkan pengetahuan masyarakat yang kebanyakannya menganggap penyakit leukemia akan berakhir dengan kematian, sedangkan ia boleh dirawat dan disembuhkan.
Pada masa sama ia membekalkan pesakit dengan pelbagai pengetahuan kerana ramai tidak tahu apa perlu ditanya apabila berjumpa doktor.
Malah ia turut menekankan isu psikososial yang berkaitan emosi pesakit dan ahli keluarga; masalah kewangan dan perubatan.
CML
Leukemia penyakit orang dewasa? Bagaimana orang dewasa boleh mendapat leukemia, bukankah ia penyakit yang biasanya berlaku pada kanak-kanak? Ini antara soalan yang bertalu-talu mengetuk minda penulis apabila diberitahu mengenai CML. Leukemia ialah sejenis kanser darah yang berpunca dari sum-sum tulang.
Sebagaimana kanser lain, leukemia tidak memilih mangsa dan ia boleh berlaku pada semua peringkat umur tanpa tanpa sebab tertentu.
Ketua Jabatan Hematologi Hospital Ampang merangkap Timbalan Presiden Persatuan Hematologi Malaysia, Datuk Dr Chang Kian Meng berkata, ada dua jenis leukemia: akut atau agresif dan kronik iaitu jenis yang beraksi (berkembang) secara perlahan.
Walaupun CML bersifat kronik (berkembang secara perlahan-lahan), malangnya selepas tiga hingga lima tahun, penyakit bertukar corak dan menjadi agresif.
Pada masa ini penyelidik masih kurang faham mengenai punca penyakit kanser termasuk leukemia, namun pada asasnya ia disebabkan mutasi genetik atau DNA. CML juga mungkin terjadi akibat radiasi atau pendedahan pada bahan kimia dalam jangka masa tertentu.
CML adalah penyakit orang dewasa — kebanyakan pesakit berumur dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun dengan insiden satu kes bagi 100,000 orang dewasa setiap tahun. Bagaimanapun, mengikut laporan, pesakit Malaysia mendapat penyakit ini pada usia lebih muda berbanding di negara Barat. Sebabnya tidak diketahui. CML jarang berlaku pada kanak-kanak tetapi jika terjadi, tanda dan gejala penyakit serta rawatan diberi adalah sama dengan pesakit dewasa.
Ciri utama penyakit ini ialah pengeluaran sel darah putih yang terlalu banyak. Ini menyebabkan pesakit mempunyai sel darah putih yang terlampau banyak dan kurang sel darah merah. Ia juga mengakibatkan limpa pesakit membesar atau bengkak.
Kebanyakan pesakit CML tidak mengalami gejala pada peringkat awal (fasa kronik). Kebanyakan kes dikesan melalui pemeriksaan darah yang rutin. Antara gejala CML ialah:
Letih dan lesu
Berpeluh waktu malam
Susut berat badan yang ketara
Demam
Sakit tulang
Limpa bengkak
Sakit perut atau rasa cepat kenyang walaupun makan sedikit Bagaimanapun, gejala di atas bukan saja berlaku pada pesakit CML, ia mungkin dialami pesakit kanser atau penyakit lain.
orait,penat x bace panjang2?hehe.congrats pd sesape yg berjaya smpai abis tanpa boringnye.heh =p
but saje nak share bcos i do experience da same thing.n dis explaining ntuk yg mana
dan semua yg berlaku ini mengajarku sesuatu. alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah.. He the one knows bestest ever. n i learn just not something,but a very2 valuable thing.sangat2.thanks Allah!